Saturday, 23, November, 2024
Utama Negeri Pemandu Grab maut dilanggar lori

Pemandu Grab maut dilanggar lori

oleh Ammar Haziq
Siasatan awal polis mendapati lori yang datang dari arah belakang tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar mangsa dan bahagian sebelah kanan kereta mangsa di di Kilometer 92.1 Lebuh Raya Utara Selatan, pada Isnin.

SUNGAI PETANI –  Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 92.1 Lebuh Raya Utara Selatan, pada Isnin selepas memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan untuk keluar dari kereta yang dipandunya secara melulu.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa dikenali Mohd Nazri Elias, 50 tahun maut di tempat kejadian pada jam 3.10 petang.


Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pemandu Grab berasal dari Felda Chuping memandu kereta jenis Proton Persona sedang dalam perjalanan menuju ke arah Sungai Petani.


“Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Tanpa melihat ke arah belakang mangsa terus keluar dari kereta dan lori yang datang dari arah belakang tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar mangsa dan bahagian sebelah kanan kereta mangsa.

“Akibat daripada perlanggaran itu mangsa terpelanting dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori berusia 51 tahun berasal dari Kerteh, Terengganu pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya sudahpun  diambil bagi melengkapkan kertas siasatan.


“Mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com