KUALA LUMPUR : Kira-kira 9,000 mahasiswa akan dibantu menerusi Program Bakat Pasaran Modal untuk Graduan (CMGP) dalam dalam usaha mengembangkan kemahiran dan kebolehpasaran khususnya dalam industri pasaran modal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu yang dikenali sebagai investED, ‘Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal’ turut akan membuka peluang pekerjaan kepada 600 graduan dalam tempoh satu atau dua tahun.
“Ini suatu hal yang sangat menarik kerana ia hanya menyentuh satu bidang (pasaran modal).
“Di bidang yang lain seperti yang telah saya umumkan, umpamanya kita belanjakan sekitar RM6.7 bilion setahun untuk TVET.
“Dan kejayaannya, 95 peratus mendapat pekerjaan. Masalahnya, upah itu masih RM2,000 ke bawah.
“Apa langkah yang telah diambil? Syarikat-syarikat gergasi yang besar harus ambil alih sepenuhnya TVET atau sebahagian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian CMGP di Dewan Persidangan Suruhanjaya Sekuriti (SC), di sini hari ini.
Turut serta dalam majlis pelancaran yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin.
investED bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan saluran bakat mampan.
Inisiatif itu yang diteranjui oleh SC dijangka mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.