Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional Program setahun bersama Kerajaan MADANI wajar diteruskan – Menteri

Program setahun bersama Kerajaan MADANI wajar diteruskan – Menteri

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI wajar diteruskan kerana mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 230,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadil berkata antara tumpuan pada program itu ialah sesi Dialog MADANI yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menjawab soalan pengunjung tanpa sebarang tapisan.

“Saya kira belum pernah ada satu forum kita kumpulkan Perdana Menteri dan Timbalan-timbalannya untuk menjawab sendiri soalan yang tiada tapisan dalam cara sebegini. Ini mungkin perkara yang boleh kita bawa dalam siri jelajah ini,” kata beliau kepada pemberita.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata dalam penganjuran seterusnya program itu ke negeri-negeri, kesemua kementerian dicadangkan untuk turut mempamerkan inisiatif dan pencapaian kerajaan yang khusus bagi negeri tersebut.

“Seperti yang Perdana Menteri sebut, kos bagi keseluruhan program (akan) dikurangkan, tetapi isi kandungan program pula akan dimantapkan,” katanya.

Pada majlis itu mengumumkan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI akan diteruskan di peringkat negeri dan akan bermula di Selangor pada Januari tahun depan.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia membolehkan kerajaan terus menyantuni rakyat dan mempamerkan segala inisiatif serta pencapaian kerajaan.

“Kita memberikan pelbagai tawaran istimewa untuk rakyat memahami betapa gigih usaha kerajaan supaya mereka memahami dan memberikan sokongan dan berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI dalam membina semula negara ke arah kegemilangan,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar yang berkata program itu bukan sahaja penting untuk bagi mempamerkan prestasi kerajaan, malah ia mampu mendekatkan kepimpinan negara dengan rakyat.

“Selepas satu tahun mentadbir, penting untuk buat penilaian tentang semua program dan inisiatif yang diambil dan dilaksana di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang 2023,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Datuk Ewon Datuk Ewon Benedick pula berpendapat program itu perlu diteruskan kerana ia boleh dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan penganjuran pelbagai aktiviti.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat.

Sejumlah 36 reruai kaunter perkhidmatan disediakan daripada pelbagai kementerian dan agensi yang menawarkan 102 perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan dengan tiga objektif iaitu menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu kepada rakyat, meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan secara berkala.

Program tiga hari yang bermula pada Jumaat dari 9 pagi hingga 10 malam itu memfokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com