ALOR SETAR – Sokongan pengundi muda yang dikatakan lebih memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, hanya satu momokan politik dan tidak boleh disamakan dengan situasi semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ini kerana menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15, golongan muda dan pertengahan khususnya di negeri ini sudah dapat melihat peluang untuk mereka melakukan perubahan.
“Apa yang berlaku pada November 2022 (dalam PRU15) lalu waktu itu suasananya sangat berbeza dengan tujuh bulan kemudian, sebab pada waktu itu kerajaan tidak ditubuhkan di Putrajaya.
Semua orang (parti politik) berkejar untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya, tapi sekarang kita dah tubuhkan kerajaan di Putrajaya, kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) dah ada di Putrajaya”.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Perpaduan BN dan PH di sini hari ini.
Mahdzir berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kini telah membuka mata rakyat termasuk golongan muda yang mana mereka boleh mengubah keputusan memilih pada PRU lalu dalam PRN kali ini.
“Saya kira momok-momok ini memang biasa bila dekat PRN ini, macam-macam persepsi akan dibangkitkan, semuanya (memihak kepada) PN.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihanraya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan anak muda sebaliknya sokongan golongan itu kini telah beralih kepada PN.
Sementara itu, Mahdzir turut menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan program bertemu dengan pelajar universiti hanya untuk menarik sokongan golongan muda.
Jelas beliau, sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjelaskan mengenai polisi, dasar kerajaan serta pembinaan negara dan bukan hanya ingin menarik sokongan semata-mata.
“Perdana Menteri turun universiti untuk menjelaskan dasar yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, jadi saya ingat bukan makna turun untuk dapat sokongan (kepada PH).
“(Tanggungjawab) Perdana Menteri lebih daripada itu, dia (Muhammad Sanusi) tak boleh bandingkan antara PM dengan seorang yang nak dapatkan pengaruh sebab dia melebihi semua perkara, dia nak cakap tentang polisi dan arah panduan negara ini, tanggungjawab dan bagaimana nak membina negara,” katanya.