Friday, 17, May, 2024
Utama Nasional PM jamin siasatan rapi akan dijalankan dakwaan rasuah di KLIA

PM jamin siasatan rapi akan dijalankan dakwaan rasuah di KLIA

oleh admin

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan melakukan siasatan rapi berhubung dakwaan rasuah membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu terbabit juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

“Tindakan juga akan diambil kepada pihak terbabit andai wujud kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga menjejaskan kelancaran operasi di lapangan terbang berkenaan .

“Tahap keselamatan dan pengoperasian di lapangan terbang negara akan senantiasa ditambah baik dalam memastikan perkhidmatan sewajarnya diberikan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sempat melakukan lawatan mengejut ke kaunter Imigresen dan Kastam di KLIA hari ini.

Berdasarkan pemantauan, beliau menegaskan masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi memantapkan pengoperasian di pintu masuk negara ini.

“Saya sempat bertegur sapa dan bertanyakan kepada anggota serta pegawai bertugas berkenaan operasi harian, baik di kaunter ketibaan mahupun pelepasan.

“Kesempatan ini juga digunakan untuk melihat sendiri isu berbangkit atau permasalahan sewaktu pengendalian harian membabitkan pelancong dan warga asing selain warga tempatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan isu tular ‘kekecohan di KLIA’ membabitkan dirinya pada Khamis.

Mengaku dirinya terlibat dalam insiden berkenaan, kejadian yang tular itu juga, dakwanya secara tidak langsung telah membuka kepada pendedahan amalan gejala rasuah melibatkan pihak berkuasa terhadap seorang pelancong wanita warga China.

Polis juga sudah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis pada masa ini adalah untuk menentukan sah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com