Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Kerajaan umum bantuan khas RM300 penjawat awam, RM200 pesara

Kerajaan umum bantuan khas RM300 penjawat awam, RM200 pesara

oleh admin

UALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan khas penghargaan sebanyak RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan.

Ia termasuk pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Katanya, bantuan yang memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara itu akan diberikan dalam tempoh dua minggu dan sebagai permulaan sementara menunggu proses pelarasan gaji dan elaun penjawat awam selesai diperincikan.

“Sementara kajian gaji dan elaun diperincikan, kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

“Saya arahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

“Dengan pemberian permulaan ini, diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan Ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik, sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com