Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Anwar tuntut Muhyiddin bayar ganti rugi RM200 juta, minta maaf

Anwar tuntut Muhyiddin bayar ganti rugi RM200 juta, minta maaf

oleh Ammar Haziq

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta kerana memfitnahnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Permohonan maaf tanpa syarat dan tidak berbelah bahagi seperti yang dituntut Anwar hendaklah dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan olehnya (Anwar).

Selain itu, Anwar menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutan beliau dan kesemua kenyataan (yang didakwa) fitnah diterbitkan berhubung isu pelupusan hutang peneroka FELDA serta-merta dan tidak berbelah bahagi serta memadamkan atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan dan bersifat fitnah.

“Penegasan anak guam kami (Anwar) bahawa anak guam kamu sengaja dan berniat jahat memfitnah dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan diluar konteks seperti terkandung di dalam surat tuntutan anak guam kamu bertarikh 18 Julai lalu dan harus membuat permintaan maaf yang tidak terizab kepada anak guam kami,” kata surat jawapan itu.

Berhubung surat tuntutan Muhyiddin bertarikh 18 Julai lalu, surat itu menegaskan bahawa Anwar sudah memberikan maklum balas dalam tempoh masa yang diberikan dengan membuat hantaran posting Facebook kenyataan media semalam.

Ia menyatakan bahawa tidak relevan di sisi undang-undang dan prosedur sama ada maklum balas itu dibuat melalui hantaran posting Facebook beliau atau melalui peguam caranya atau oleh kedua-duanya.

Katanya, oleh itu ia adalah satu salah tanggapan dan tindakan jahat oleh Muhyiddin untuk menyatakan kepada pihak media bahawa Anwar masih belum memberikan apa-apa maklum balas kepada dakwaan berkenaan.

Menurut surat jawapan itu, Muhyidddin dalam surat tuntutannya membuat rujukan kepada beberapa petikan daripada ucapan Anwar ketika majlis sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu dan ucapan pada dialog di Universiti Utara Malaysia keesokan hari.

“Kami diarahkan oleh Anwar bahawa beliau berdiri teguh dengan kenyataan dalam ucapannya dan menegaskan bahawa petikan yang dirujuk oleh Muhyiddin tidak memberikan gambaran sebenar ucapannya.

“Kenyataan Anwar juga disahkan dan disokong dalam hantaran posting Facebook oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 8 Julai lalu.

“Lanjutan itu, transkripsi (perenggan ucapan) yang dinyatakan dalam surat tuntutan anak guam kami dipetik diluar konteks dan diputar belit semata-mata untuk memberikan suatu gambaran yang tidak benar dengan niat untuk memfitnah dan dengan sengaja tidak mengemukakan transkripsi penuh dan teratur ucapan oleh Anwar.

“Oleh itu, kenyataan oleh anak guam kami adalah benar,” katanya.

Surat jawapan itu juga menyatakan bahawa Anwar menegaskan bahawa Muhyiddin dengan sengaja dan berniat jahat memfitnahnya dalam menerbitkan kenyataan tidak benar dan diluar konteks.

Pada 19 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan kepada Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Dalam kenyataan beliau malam tadi di Facebook, Muhyiddin memaklumkan meneruskan tindakan saman terhadap Anwar berikutan Anwar dalam kenyataannya pada hari sama gagal mendedahkan dokumen yang dimintaberkenaan pelupusan hutang peneroka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com