Sunday, 28, April, 2024
Utama Politik Kes Faisal : FAM nasihat pemain berhati-hati beri kenyataan media

Kes Faisal : FAM nasihat pemain berhati-hati beri kenyataan media

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR –  Persatuan Bolasepak Malaysa (FAM) menasihatkan pemain-pemain bola sepak yang beraksi di Liga Malaysia supaya lebih berhati-hati ketika memberikan kenyataan media.


Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pemain perlu mengambil pengajaran daripada kes pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim yang dihukum penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang pada petang Selasa.


Menurutnya, Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya ketika sesi temu ramah media selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April 2023.


“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023. Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.


Untuk makluman semua, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu merupakan salah satu Badan Kehakiman FAM iaitu sebuah badan bebas yang terdiri daripada antara lain individu-individu berlatarbelakangkan profesion pengamal undang-undang sebagai ahli-ahli jawatankuasanya,” katanya dalam satu kenyataan.


Bagaimanapun, bagi satu lagi kes iaitu membabitkan pengadil perlawanan ketika aksi Piala FA 2023 menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 Jun 2023, Faisal dan seorang lagi pemain Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee hanya diberikan amaran keras.


Noor Azman berkata, surat rasmi mengenai pemakluman keputusan kes-kes tersebut telah pun dihantar kepada Selangor FC dan Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com