ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail memulakan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mulai semalam.
Ku Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi sejurus memasuki ibu pejabat agensi berkenaan.
Ku Abdul Rahman yang dilantik menjawat tugas berkenaan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkuat kuasa 1 Jun 2020, mendengar taklimat tentang peranan agensi itu serta bertukar pandangan bagi usaha mempertingkatkan lagi pembangunan luar bandar di negeri ini.
Taklimat dan penerangan disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Kamarudin Abd Akib yang juga memangku tugas Pengurus Besar.
“Saya dapat merasakan persekitaran yang positif dan ia merupakan titik permulaan yang baik,” kata Ku Abdul Rahman dan mengucapkan terima kasih kepada menteri atas kepercayaan memegang jawatan itu. – KG