Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Akibat menunda ikan di zon larangan, sebuah bot nelayan tempatan Kelas C telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di kedudukan kira-kira 9 batu nautika barat Tanjung Belua lewat petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

Beliau turut memaklumkan, bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru kesemuanya warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 500 kg telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah lima belas batu nautika dari pantai.

Romli menjelaskan, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima belas batu nautika daripada pantai.

Katanya lagi, aktiviti menangkap hasil laut kurang lima belas batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Justeru tegas beliau pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat sah lesen.

Romli turut memohon kepada orang ramai agar menyalurkan aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim atau pelanggaran undang-undang di perairan Kedah dan Perlis dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com