Friday, 18, October, 2024
Utama Negeri Pekerja sektor pelancongan di Langkawi minta kerajaan perkenal pelan bantuan khas

Pekerja sektor pelancongan di Langkawi minta kerajaan perkenal pelan bantuan khas

oleh Wartawan Kedah Gazette

LANGKAWI – Ribuan pekerja dalam sektor pelancongan di pulau peranginan ini hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang COVID-19 dilaksanakan pada Mac lalu.

Kebanyakan pekerja terbabit merupakan penduduk tempatan yang sebelum ini berkhidmat
dalam perhotelan, pengangkutan, taman tema, pusat rekreasi di pulau itu.

Mereka yang tiada pendapatan sejak bermula PKP lalu kini dikatakan tiada simpanan untuk perbelanjaan keluarga.

Sehubungan itu mereka yang tiada kepastian sama ada dapat bekerja semula selepas ini merayu kerajaan memperkenalkan pakej bantuan khas dengan segera.

Seorang pengusaha syarikat kawalan keselamatan bagi beberapa hotel di Langkawi mengeluh kerana kontrak syarikat beliau terpaksa ditamatkan kerana sektor pelancongan di pulau lagenda itu terhenti.

Beliau yang hanya mahu disebut Azlisham mempunyai hampir 30 penjaga keselamatan, dan sekarang terpaksa menghantar sebilangan stafnya bertugas di Kuala Lumpur.

Beliau juga memberitahu kerap kali mendapat panggilan “s.o.s” bagi meminjam wang dalam kalangan rakan pekerja hotel yang tidak dapat bekerja.

“Suasana amat teruk, tidak pernah terbayangkan ini akan terjadi. Kemeriahan dahulu setiap cuti sekolah, cuti perayaan sudah tiada. Pekerja sektor hotel menderita, tiada pendapatan, kepayahan survival hidup adalah realiti,” katanya yang sudah 10 tahun berniaga di pulau berkenaan.

Seorang lagi yang bekerja sebagai bellboy di satu hotel terpaksa menggunakan facebook bagi memohon pertolongan bagi mencari pekerjaan.

“Ada kerja kosong tak untuk lelaki, tak kisahlah kerja apa pun janji halal, cuci pinggan apa sahajalah. PKP saya hilang kerja di hotel, terpaksa nak tampung sewa bilik dan makan,” katanya yang menggunakan nama Sarah Harison Lyn ketika menulis di Facebook kumpulan Langkawi Sana Sini.

Nor Saidi Nanyan

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan juga berkongsi kisah beliau tentang kesusahan yang dihadapi pekerja sektor pelancongan.

“Saya melawat satu keluarga suami dan isteri bekerja di hotel yang sama. Saya dimaklumkan bahawa mereka tidak dibayar gaji sejak daripada PKP sehingga kini. Mereka hanya menunggu macam buah tak gugur. Rumah sewa kena bayar makan minum dan perbelanjaan lainnya atas ihsan orang ramai,” kata Nor Saidi.

“Saya juga dikhabarkan bahawa ramai lagi pekerja diberhentikan kerja tanpa notis, tanpa pampasan dan banyak hotel akan ditutup dan banyak outlet pelancongan lainnya juga akan ditutup,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah berkenaan.

Beliau berkata, nasib pekerja yang diberhentikan masih tidak terbela dan masa depan mereka tidak menentu.

Namun, sedikit pembelaan ketika waktu sukar ini kerana orang ramai prihatin tampil membantu, NGO dan orang perseorangan yang bermurah hati menghulurkan bantuan makanan, lampin pakai buang, susu dan lain-lain.

Tetapi kata beliau, persoalannya sampai bila dapat bertahan?

Nor Saidi menjelaskan sebahagian dilema pekerja sektor pelancongan Langkawi yang tidak bernasib baik.

“Saya menjangkakan ramai lagi akan diberhentikan dan banyak lagi hotel, outlet pelancongan akan ditutup, pengusaha bot pelancong, pengusaha kereta motor sewa, bas dan pelbagai lagi pihak yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan Langkawi. Ekoran daripada itu sudah pasti pekerja akan diberhentikan,” katanya.

Tegas beliau mereka masih menanti sesuatu pelan menyelamat daripada Kementerian Pelancongan, namun sehingga kini macam menanti buah tak gugur.

“Saya mengharapkan Kementerian Pelancongan tampillah dengan pelampung untuk menyelamat industri Pelancongan Langkawi, pelan kotengensi dan “exit policy” perlu ada dan disediakan agar usaha menyelamat ini dapat disegerakan” katanya lagi. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com