POKOK SENA -Seorang pesakit kanser Esofagus iaitu kerosakan di dalam perut akibat asid merayu bantuan orang ramai membantu menampung kos pembedahannya yang dijadualkan pada September ini.
Bagaimanapun, Sufiza Osman, 40 yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berkata, jumlah kos pembedahan dan lokasi hospital masih belum diketahui lagi.
Dia yang kini sedang cuti sakit selama tiga bulan kini hanya mampu makan bubur nasi dan minum susu melalui tiub kesan daripada penyakit berkenaan.
“Gaji saya RM1,200 sebulan, selepas ditolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya gaji bersih saya tinggal RM900 sebulan.
“Baki duit gaji itulah saya guna untuk beli susu kira-kira RM200 sebulan dan berulang alik melakukan rawatan kimoterapi di Hospital Pulau Pinang dua minggu sekali.
“Untuk ke sana, saya minta bantuan anak saudara saya untuk menghantar dan menjemput saya kerana saya akan dimasukan ke wad selama tiga hari selepas rawatan kimoterapi, duit gaji saya habis berulang untuk rawatan,”katanya.
Dia berkata, suaminya, Azizan Ismail,47, pula hanya bekerja menoreh getah secara pawah, dengan pendapatan kira-kira RM380 sebulan.
Dalam pada itu, pendapatan bulanan sedia ada juga digunakan untuk menyara anak sulung yang belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua lagi yang belajar di sekolah menengah dan rendah.
“Duit simpanan yang ada sudah habis digunakan untuk tujuan perubatan kanser saya. Saya buntu bagaimana hendak cari duit bagi menampung kos pembedahan tersebut,”katanya.
Orang ramai yang mahu membantu Sufiza boleh menghubungi nombor 017-5243037. – KG