Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti tersebut menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu agar kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen.
Menurutnya, saranan tersebut adalah bukti keprihatinan Agong dan juga Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.
Tindakan yang diambil oleh Baginda Tuanku bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik dan mendengar taklimat daripada agensi-agensi Kerajaan, menunjukkan bahawa Baginda Tuanku amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.