BAGAIMANA KEMISKINAN MENDIDIK SAYA UNTUK BERJAYA!
23/9/1987 adalah tarikh keramat dalam hidup saya,syukur diizinkan Allah untuk melihat dunia ini dan segala kebesaran serta keindahan ciptaanNya.
Saya anak ke-6 daripada 21 orang adik beradik seibu dan seayah.Lima daripadanya meninggal dunia sewaktu kecil,dan kini kami tinggal 16 beradik.
Kami daripada keluarga fakir miskin.Tahun 80an,keluarga kami pernah dibanci sebagai keluarga paling miskin di daerah Besut,Terengganu.Ayah hanyalah buruh kasar,manakala ibu pula suri rumah sepenuh masa.
Masa kecil kecil,kami selalu makan nasi berlaukkan garam dan juga budu.Jarang dapat menikmati ikan segar,apatah lagi ayam atau daging.Selalunya,ikan pekasam dan ikan kering menjadi juadah harian kami sekeluarga.Ketika kehabisan nasi,ubi kayu jadi penganti.Begitu juga jika beras tinggal sedikit,mak terpaksa jadikan bubur nasi supaya dapat dihirup bersama sama walau hanya sesuap.
Tinggal di bangsal usang di pedalaman Kampung Tok Raja,Jertih,saat yang paling mengetirkan adalah sewaktu musim hujan.Atap zink berlubang sana sini,dan kami sekeluarga terpaksa menahan kesejukan akibat titisan air hujan yang jatuh dari celahan atap lusuh.
Saya dan adik beradik sering ke sekolah dengan hanya berselipar jepun keran ayah jarang berkemampuan membelikan kasut.Justeru bila pihak sekolah menyalurkan bantuan pakaian atau kasut sekolah,kami akan menjaganya betul betul kerana sedar ianya sangat sukar didapati dengan kudrat sendiri.
Di sekolah,gaya hidup seorang pelajr miskin menjadikan saya sebagai sasaran buli rakan rakan sebaya daripada keluarga yang lebih berada.Namun apa daya,saya hanya mampu bersabar dan bertabah.
Hidup di lantai kemiskinan membuatkan saya membesar dengan kematangan.Samaada ianya kerana terpaksa atau dipaksa,yang pasti saya memang perlu memaksa diri untuk terus ke hadapan.Tanggujawab membantu keluarga tidak boleh diletakkan pada bahu tua ayah semata mata,kami harus sama sama memikul tugas membesarkan adik adik dengan sepenuh kudrat biarpun kerdil.
Tamat sekolah rendah,saya sambung belajar di sekolah menengah Seri Nering,Jertih.
Terus dibuli pelajar pelajar nakal dan saya melawan,akhirnya saya yang dipecat sekolah.Itulah lumrah hidup.Apabila kemiskinan berdiri di hadapan pintu,maka cinta pun keluar melalui jendela.
Hampir setahun jadi pelajar tersisih.Ayah yang bersimpati melihat saya ketinggalan dalam pelajaran, merayu dengan PPD untuk saya diterima belajar dan kemudiannya saya dapat kembali menyambung pelajaran di sekolah Menengah Nasirudin Shah.Itulah kasih ayah,jarang terzahir namun tiada siapapun yang dapat menafikan cinta kasihnya pada seorang anak.
Tamat SPM,saya masuk tingkatan 6.
Gagal mendapatkan sijil kerana memperolehi markah yang sangat rendah,saya akhirnya mula bekerja sebagai pengutip sampah.Tiada pilihan,keluarga perlu dibantu dan hidup mesti diteruskan!
Momen momen ketika bekerja sebagai pengutip sampah sangat meninggalkan kesan kepada saya sehingga ke hari ini.
Antaranya ketika mak menelifon memberitahu di rumah tiada lauk untuk dimakan,saya terpaksa menyelongkar tempat pengumpulan sisa sisa makanan sebelum dibuang ke dalam tong sampah untuk mencari sekiranya ada yang masih boleh dimakan.
Nasib menyebelahi saya,saya menemui beberapa ekor ayam dan ikan serta sayur mentah yang telah dibuang namun masih elok untuk dimakan.Saya membawa pulang makanan mentah itu dan kami memasaknya untuk makan tengahari pada hari itu.Sampai sekarang mak dan adik adik tak tahu bahawa makanan yang pernah menjadi juadah kami dulu adalah makanan yang telah dibuang berhampiran tong sampah!
Namun selagi ianya halal,bersih dan elok,itulah rezki kami.
Kini belasan tahun sudah berlalu…
Saya sudah dewasa,namun segala kenangan bagaimana saya bermula tidak pernah saya lupa.
Bersyukur kerana saya dilahirkan miskin,itulah tangga yang membuatkan saya terinspirasi untuk menjadi kaya biarpun masih belum benar benar kaya.Saya ingin kaya harta,tapi lebih utama ialah saya mahu kaya jiwa.
Kepada semua termasuklah diri saya,saya ingin berpesan supaya kita semua betul betul menjaga solat dan berbakti dengan ikhlas terhadap kedua ibu bapa.Itulah antara kunci kunci yang utama dalam membuka pintu kejayaan
Semoga kita semua terus berjaya dunia dan akhirat!
Muhammad Azlan Al Amin.