Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Pelajar OKU bersemangat genggam Ijazah Undang-Undang di UUM

Pelajar OKU bersemangat genggam Ijazah Undang-Undang di UUM

oleh Ammar Haziq
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah melihat kaki palsu yang digunakan Nek Muhammad Sofwan Najim Nek Ali ketika menyerahkan surat tawaran kemasukan ke UUM di rumahnya di Taman Nuri, kelmarin.

Gambar Ihsan UUM

Alor Setar: Impian seorang pelajar yang menghadapi masalah saraf sehingga menyebabkan kaki kanannya dipotong untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading akhirnya tercapai meskipun memiliki kekurangan fizikal.

Pelajar Semester 1, Sarjana Muda Undang-undang, Nek Muhammad Sofwan Najim Nek Ali berkata, tiada kata yang mampu diungkapkan melainkan setinggi kesyukuran kepada Allah yang telah memudahkan laluannya memburu impian sebagai seorang peguam.

Menurutnya, dia berasa gembira apabila mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UUM dalam program pengajian yang diminati dan pada masa sama berasa sangat puas kerana dapat membahagiakan ibu bapanya dengan pencapaian itu.

Anak keempat daripada enam beradik itu tetap bersemangat melangkah ke hadapan tanpa memikirkan kekurangan fizikal yang dimilikinya.

“Saya tetap bersemangat untuk belajar dan bersukan walaupun saya merupakan orang kelainan upaya (OKU), malah tidak sabar untuk masuk ke kampus tambahan pula saya sudah lengkap dua dos vaksin.

“Saya mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga demi masa depan yang lebih cerah dengan menjadi seorang peguam yang berjaya kelak,” katanya yang berhasrat mengikut jejak langkah bapanya yang pernah menjadi peguam syariah.

Pada kesempatan itu, Nek Muhammad Sofwan mengucapkan terima kasih kepada UUM dan juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang telah sudi turun padang untuk menyerahkan surat tawaran dan juga sumbangan kepada dia sekeluarga.

Kegembiraan yang sama turut dirasai Azlina Mohd Lokman, anak seorang buruh di Lorong Keriang, Jalan Langgar, dekat sini yang turut menerima tawaran melanjutkan pengajian bagi program Sarjana Muda Perbankan di UUM.

Anak ketujuh dari 13 beradik itu berkata, dia melihat kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading itu adalah satu peluang keemasan untuknya mengejar cita-cita, seterusnya membalas budi dan pengorbanan ibu bapa.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada UUM khususnya Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang sudi datang ke rumah untuk menyerahkan surat tawaran ini sendiri kepada saya.

“UUM merupakan universiti pilihan pertama kerana saya melihat universiti ini sangat berprestij dan mampu membantu saya mencapai cita-cita sebagai pegawai bank kelak,” katanya yang menanti untuk menerima temujanjii kedua suntikan vaksin pada pertengahan Oktober ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, “Alhamdulillah, hari ini (kelmarin), saya dapat menyerahkan surat tawaran kemasukan ke UUM kepada dua pelajar iaitu Nek Muhammad Sofwan yang merupakan pelajar OKU dan Azlina dari keluarga B40.”

Katanya, beliau kagum dengan semangat juang kedua pelajar tersebut untuk belajar demi mengubah nasib keluarga masing-masing, selain berasa bangga kerana mereka memilih UUM untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

“In sha Allah, kita akan bantu sebaik mungkin agar cita-cita seorang anak muda seperti Nek Muhammad Sofwan dapat direalisasikan untuk menjadi seorang peguam, manakala Azlina ingin menjadi seorang pegawai bank yang hebat suatu hari nanti,” katanya selepas menyantuni pelajar tersebut di rumah mereka, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Prof. Madya Dr. Rajwani Md. Zain; Pengarah UUM Corporate Communication, Mohd Fairus Abdul Majid dan pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com