SUNGAI PETANI, 8 Sept, – Wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian RM1.2 juta direman selama dua hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad selepas mendapat permohonan polis.
Terdahulu, suspek yang berbaju lokap dan tangan bergari tiba di mahkamah dengan diiringi polis jam 9 pagi sebelum proses reman terhaapnya selesai kira-kira dua jam kemudian.
Suspek yang sebelum ini menjadi buruan kerana dikatakan terbabit dalam penipuan pelaburan tidak wujud itu ditahan pada 4 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat dalam kenyataan media semalam berkata, suspek ditahan susulan daripada laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 30 tahun yang mendakwa menjadi mangsa penipuan apabila melaburkan modal RM12,000 namun tidak mendapat sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai mendakwa dia pada mulanya tertarik dengan iklan di laman Facebook atas nama “Eypolwaniey” yang mengiklankan mengenai pelaburan atau simpanan dinamakan ‘Savingbywanie’ awal Jun lalu.
“Wanita itu tanpa berfikir panjang bersetuju melabur dengan modal sebanyak RM6,000 sebelum dijanjikan akan mendapat keuntungan berganda dalam tempoh dua bulan,” katanya.
Katanya, mangsa sekali lagi termakan pujukan suspek apabila dia menambah nilai pelaburan berjumlah RM6,000 dengan melakukan dua transaksi wang masing-masing RM4,000 dan RM2,000 secara dalam talian ke sebuah akaun bank.
“Bagaimanapun, sebaik tiba tarikh dijanjikan mangsa mendapati dia langsung tidak mendapat hasil keuntungan seperti diberitahu suspek malah modal dikeluarkan juga turut lesap.
“Mangsa kemudian membuat laporan pada 19 Ogos lalu selepas menyedari ditipu dan suspek yang menghilangkan diri menjadi buruan polis sebelum berjaya ditahan,” katanya.
Siasatan lanjut mendapati sindiket pelaburan tidak wujud itu baru dua bulan beroperasi dan sebanyak 33 laporan polis dibuat mangsa membabitkan nilai kerugian RM1.2 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.