Monday, 25, November, 2024
Utama Politik Suraya Yaacob lepas jawatan Exco Kedah

Suraya Yaacob lepas jawatan Exco Kedah

oleh Ammar Haziq
Datuk Suraya Yaacob

ALOR SETAR, 13 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob hari ini melepaskan jawatan selaku Exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.

Tanpa menjelaskan sebab berbuat demikian, pengumuman untuk melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri itu diumumkan menerusi satu kenyataan selepas berakhir Mesyuarat Exco dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda, hari ini.

Difahamkan keputusan itu bukanlah satu desakan kepada kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya ada kaitan dengan desas-desus menyatakan beliau akan diangkat seagai calon Parlimen Pendang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), tidak lama lagi.

“Saya dengan lafaz Bismillahirahmanirahim dan rela hati meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri berkuatkuasa serta-merta.

“Di kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah atas perkenan baginda melantik saya ke jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada barisan exco, kepimpinan kerajaan negeri serta semua jabatan dan agensi kerajan terlibat.

“Begitu juga dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), inidvidu dan seluruh rakyat Kedah yang selama ini memberi kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan negeri di bawah bidang portfolio saya dapat direalisasikan sebaik mungkin,” katanya.

Pertemuan antara Suraya dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum mesyuarat Exco pagi tadi.

Tambahnya sebagai seorang yang berjiwa besar, pastinya beliau tidak akan lupa kepada segala cabaran dan pengalaman membantu menyelaras mempercepatkan projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

“Usaha itu menyaksikan terimaan manfaat bernilai RM2.62 bilion atas penstrukturan semula industri air negeri meliputi penghapusan hutan RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina dua LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang.

“Antara pengalaman berharga saya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan buat rakyat Kedah, melibatkan dua takungan air pinggiran sungai (TAPS). Ia dibangunkan untuk kegunaan menakung lebihan air yang melimpah ketika musim tengkujuh, bagi digunakan ketika musim kemarau,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Penerangan UMNO Kedah memaklumkan, cabaran paling besar dihadapi ketika menjadi exco untuk penggal kali ini adalah bencana banjir kepala air di Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021.

“Namun Alhamdulillah, berkat kesabaran, keikhlasan dan jati diri selaku anak jati Kedah, saya yakin diri ini telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai exco kerajaan negeri seperti mana diamanahkan.

“Semoga Allah merahmati dan akan terus memayungi negeri Kedah Darul Aman ini dalam redanya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com