SHAH ALAM:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap rakyat tidak memberi persepsi bahawa beliau meminggirkan atau mengutamakan kaum tertentu dengan tindakannya mengumumkan sebarang peruntukan khas untuk mereka.
Beliau berkata dirinya adalah seorang pemimpin yang memperjuangkan untuk semua kaum tanpa memilih warna kulit atau latar belakang.
Ini kerana katanya nilai pemimpin seperti itu turut dituntut Islam sekali gus menjayakan agenda kerajaan Perpaduan untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini.
“Ramai saudara kenal saya dan saya tidak tolak ansur dalam soal ini. Saya pernah sebut dulu dan sekarang dengan takdir tuhan diberi untuk pimpin negara ini, saya akan pimpin Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semua.
“Kalau miskin itu miskin, saya tak tengok warna kulit atau keturunan. Saya minta pimpinan India atau semua rakan di sini supaya faham, kena ada anjakan sedikit, anjakan paradigma yang jelas.
“Kena faham perubahan dasar dan saya nak kamu beri sokongan sepenuhnya untuk keseluruhan dasar tidak kiralah untuk kepentingan kaum India, Melayu, Cina, Kadazan.
“Maka jangan sebut ini agenda India. Tidak ada dalam agenda untuk masyarakat India, Melayu tetapi ia adalah agenda rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, petang tadi.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.
Berdasarkan perangkaan kerajaan, Perdana Menteri berkata, kebanyakan kaum miskin di negara ini adalah orang Melayu.
Bagaimanapun, beliau berkata data menunjukkan kaum paling miskin adalah masyarakat India.
“Kalau masuk kategori miskin tegar yang sekarang ini dikira sebanyak 130,000 ketua keluarga. Kalau perlu tambahan RM100 juta atau RM200 juta saya akan pastikan tidak ada yang miskin tegar pada tahun ini. Mesti diselesaikan. Ini masalah paling besar kaum India.
“Saya orang Melayu, kalau saya berani menyahut itu saya kena berani laksanakan supaya kategori miskin tegar itu selesai, dinoktahkan sama ada dia India, Melayu, atau lain-lain.
“Saya tidak mahu saudara fikir dan berhujah pasal kaum sama ada dia di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan jadi Melayu. Tetapi saya sebut majoriti Melayu tetapi jumlah nisbah relatif kaum India itu tinggi (miskin tegar) di ladang.
“Mereka ini tinggal puluhan dan ratusan tahun sehingga bergenerasi serta mereka warganegara.
“Isu miskin tegar menjadi satu cabaran besar bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk Kementerian Ekonomi untuk caranya berkesan bagi selesaikan isu ini.
“Kemiskinan tegar maknanya makan belum sempurna, susu anak belum terjamin. Jadi itu bagi saya keutamaan yang patut diselesaikan tahun ini juga,” katanya.