BANGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang perlu menjadi medan untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan kekal kuat di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan bekerja keras, menyokong satu sama lain demi misi khidmat untuk rakyat.
“Calon PH akan kerja sepenuh hati, calon UMNO pun kita akan menangkan. Dengan segala daya usaha kita akan buktikan kepada mereka yang cuba porak perandakan perpaduan kita, yang kerajaan ini akan kekal kukuh dan kuat dalam negara,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor, semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa lagi pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan.
Beliau turut meluahkan penghargaan terhadap seluruh pasukan kerajaan perpaduan yang dilihat berjaya mempertahankan prinsip bebas rasuah dan tatakelola yang baik sepanjang lapan bulan berkhidmat.
Anwar menegaskan, isu yang dimainkan pembangkang berkaitan hubungan baiknya dengan UMNO serta Ahmad Zahid sudah tidak lagi relevan, apatah lagi apabila ramai pimpinan pembangkang juga terpalit dengan pelbagai kes mahkamah.
“Ini bukan pertarungan politik biasa. Mengapa benci sangat dengan UMNO? Sudah lapan bulan kita bekerjasama, saya beritahu Perikatan Nasional, boleh tak menteri dia dulu cakap, satu kepentingan pun tak ambil?
“Mereka (pembangkang) takkan berani sebut. Lapan bulan kita mentadbir, kita jaga tata kelola, kita lawan rasuah habis-habisan. Saya salute Ahmad Zahid dan pasukan Kerajaan Perpaduan pertahankan prinsip ini.
“Mereka sakit hati Anwar baik dengan Zahid, katanya ada kes mahkamah. Ya betul, ketua kamu pun ada kes mahkamah juga,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan beliau tidak mempunyai masalah menerima kritikan yang berkaitan dengan prestasi kerajaan perpaduan, namun ia harus dilakukan dengan fakta yang betul dan bukan serangan berbentuk peribadi.
“Kata mereka saya kena pilih, nak jadi perdana menteri ke nak jadi penyanyi? Saya Perdana Menteri, sesekali nak menyanyi, kenapa nak sibuk?
“Mereka kata, nak jadi selebriti atau Perdana Menteri, atau nak bercakap di universiti. Apa masalahnya?
“Kalau nak kritik dasar saya tak betul, dasar ekonomi tak betul, pelaburan tak sampai, saya boleh terima tapi bukan begitu.
“Yang ada tak habis-habis fitnah, kata Islam, pakai jubah, serban tapi fitnah. Bukan seorang (yang buat) tapi ramai,” katanya.