JITRA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegur sesetengah pihak yang mudah menjatuhkan hukum hanya kerana perbezaan pendapat dalam politik.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata adalah tidak wajar mengeluarkan cercaan dan hinaan apatah lagi dalam kalangan sesama agama Islam.
“Maknanya kalau berbeza pendapat boleh tetapi, jangan hukum. Jangan hantar orang itu ke neraka, jangan cerca orang itu. Jangan hina.
“Jangan kata orang itu musuh Allah, jangan mengadakan yang tidak ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Masyarakat Daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata beliau juga menyarankan agar kitab-kitab lama sebagai khazanah keilmuan Islam dijadikan sumber rujukan dalam kehidupan terutama berkaitan adab dan perbezaan pendapat dalam Islam.
Katanya, pemahaman mendalam tentang keilmuan Islam itu diyakini dapat menyelamatkan kekeliruan dan akidah umat Islam terutama dalam kalangan generasi baharu.
“Orang sekarang dia tidak rujuk kitab-kitab lama, itu masalahnya. Bila kita tidak rujuk, jika tak amal maknanya kita memadamkan khazanah ilmu yang disebut ini… khazanah ilmu yang lama, kitab yang lama ini kita harus baca, tulis dan laksanakan.
“Tetapi dengan syarat saya kata mesti faham, mesti rujuk betul-betul,” katanya.
Anwar berkata kerajaan menghargai usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini mengusahakan penerbitan semula kitab-kitab lama itu.
“JAKIM dan ABIM akan mengusahakan penerbitannya dan mengedar supaya kita guna al-Quran, sunnah dan juga kitab-kitab lama ini,” katanya.