Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Hutang Felda dilupuskan hujung bulan lalu

Hutang Felda dilupuskan hujung bulan lalu

oleh admin

SINTOK:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mengumumkan, namun tidak menyelesaikan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Beliau sekali gus menyangkal tuduhan beliau berbohong mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA.

Perdana Menteri berkata, sebagai Menteri Kewangan, beliau baru sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu pada akhir bulan lalu.

“Hari ini mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat kenyataan Perdana Menteri berbohong kerana perkara ini (hutang) telah selesai sejak tahun 2021.

YouTube player

“Sekarang kamu kata dah selesai, saya baru tandatangan akhir Jun, Menteri Kewangan tandatangan kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana, selesai di mana?” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata memang terdapat persetujuan oleh kerajaan terdahulu untuk melupuskan hutang berkenaan, namun ia tidak dilaksanakan.

“Belanjawan 2021 bawah Perikatan Nasional dan 2022 bawah Perikatan Nasional tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang FELDA.

“Saya kekal dengan rekod ini. Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang FELDA yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam kenyataannya memaklumkan pelupusan hutang peneroka FELDA sudah dilakukannya pada 2021, sekali gus mendakwa tuduhan bahawa beliau tidak melaksanakan perkara itu ketika mentadbir negara adalah tidak benar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang itu disahkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com