PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengeluarkan Pas Pelabur Strategik (SIP) secara aktif kepada pelabur dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusi inisiatif itu, pelabur strategik yang dikenal pasti oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan dapat tinggal di negara ini bagi tempoh minimum lima tahun dan dengan tujuan dilanjutkan kepada lima tahun lagi.
“Inisiatif ini adalah bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sesi libat urus Belanjawan 2024 di sini, hari ini.
Anwar berkata kerajaan telah memberikan kuasa penuh kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memutuskan kemasukan golongan profesional ke Malaysia sejak dua bulan lalu.
“Sebelum ini selepas diluluskan oleh Bank Negara, mereka perlu pergi ke Kementerian Dalam Negeri dan ia menyebabkan lagi kelewatan.
“Tetapi sejak dua bulan lepas, kami mengambil keputusan untuk memberikan autonomi penuh kepada Bank Negara. Sebaik sahaja Bank Negara membuat keputusan dan meluluskannya, (ia) diluluskan secara automatik oleh semua agensi yang berkaitan,” katanya.
Perdana Menteri berkata bagi menyelaraskan agensi penggalakan pelaburan (IPA) Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menerajuinya pada akhir tahun ini untuk mengurangkan sebarang pertindihan antara agensi.
“Pada masa yang sama mengukuhkan tumpuan untuk memberi sokongan kepada pelabur domestik dan asing, dengan fokus untuk memastikan pelaburan yang diluluskan direalisasikan menjadi pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan memperluaskan skop pas lawatan profesional nomad digital untuk meliputi kemahiran berkaitan pembuatan.
Mengenai pelaburan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan SpaceX Elon Musk di Malaysia, Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memastikan ketiga-tiga syarikat Malaysia yang akan terlibat dengan SpaceX diberi ruang dan perhatian yang menepati keperluan Elon Musk.
“SpaceX ini adalah satu rencana beliau dan menarik sangat kerana bila dilancarkan pada 2009, kita adalah negara yang beri dukungan awal kepada beliau dalam keadaan banyak negara lain termasuk negara barat tidak mempunyai keyakinan.
“Malaysia tentunya bangga dengan keputusan itu dan terutamanya kerana ada tiga syarikat utama di Malaysia yang sebenarnya memberikan pengisian dalam program itu,” katanya.
Menurutnya, keputusan Elon Musk untuk bekerjasama dengan kerajaan memberi gambaran tentang keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia dan menunjukkan ada kelebihan yang patut dimanfaatkan di negara ini.
“Malaysia boleh bertapak semula sekiranya kita boleh menarik pelabur ke negara ini, sebab itu saya rasa selain masalah yang kita warisi, hutang, defisit serta kedudukan dan senario ekonomi global yang mencabar, ada juga beberapa harapan yang harus kita manfaatkan,” katanya.
Anwar hari ini mengadakan perbincangan secara maya dengan Elon Musk berkaitan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.
Perdana Menteri berkata kerajaan di bawah pimpinannya juga bertekad untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan melakukan pembaharuan institusi dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Dasar bakal diumumkan dalam memperkasa ekonomi MADANI pada akhir bulan ini atau awal Ogos, yang utama adalah agar Malaysia menjadi peneraju ekonomi Asia dan pastikan Malaysia destinasi pelaburan bertaraf global,” katanya.