Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Gaya angkat tangan Sanusi tidak sama dengan saya, Anwar

Gaya angkat tangan Sanusi tidak sama dengan saya, Anwar

oleh admin

TANJONG KARANG: Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu gaya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengangkat tangan
di Mahkamah Selayang pada Isnin lalu tidak sama dengannya seperti yang dilakukan beliau 25 tahun lalu.

Menurutnya, gaya tangan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berbeza kerana beliau melawan Sultan manakala dirinya pula melawan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Oh dia pergi (mahkamah), dia angkat tangan (aksi mirip Anwar) tetapi beza.

“Saya angkat tangan masa itu, saya lawan Mahathir. Orang lain angkat tangan, jangan lawan Sultan Selangor… jangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H di sini pada Rabu malam.

Anwar menambah, setiap individu tidak kira pemimpin politik perlu mempunyai had dalam mengkritik dan tidak sehingga menyentuh sensitiviti Raja-Raja Melayu.

“…kerana Raja itu, dia atas daripada politik. Raja ini bukan ketua parti (tetapi) dia ketua negeri dan ketua negara. Kamu nak main-main dan peleceh (Raja-Raja) boleh (tetapi) jawablah,” katanya.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Dalam tuduhan pertama, Muhammad Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Beliau juga didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com