GUA MUSANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negeri Kelantan dan Perlis tidak mampu membangunkan negeri tanpa bantuan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri turut menasihatkan pemimpin kerajaan negeri Kelantan untuk tidak bercakap berlebih-lebihan memandangkan banyak bantuan daripada kerajaan Pusat disalurkan ke negeri itu.
“Kelantan tak mampu, kena ada dokongan daripada kerajaan Persekutuan. Saya beritahu perkara benar, bukan nak bercakap sombong.
“Begitu juga Perlis, jika kita tidak bantu beri peruntukan, nak bayar gaji pun tak mampu.
“Namun, situasi yang berlaku adalah sebaliknya apabila kita di pihak kerajaan bagi projek, mereka kata kita tipu, kita bagi pandangan dan bercakap mereka kata masuk neraka.
“Jadi saya mohon kawan-kawan, termasuk ustaz-ustaz yang ada dalam PAS, tegurlah mereka. Jangan asyik nak hukum orang saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Desa, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.