Wednesday, 1, May, 2024
Utama Sukan Insiden final Piala FA : KL City kecewa, sedia bantu polis

Insiden final Piala FA : KL City kecewa, sedia bantu polis

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur (KL) City kecewa dengan insiden yang berlaku semasa perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

Kelab tersebut dalam kenyataan menzahirkan simpati kepada penyokong dan ahli keluarga mereka yang terkesan akibat insiden yang tidak diingini itu pada perlawanan di antara pasukan itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, KL City berdiri teguh bersama-sama penyokong di saat sukar itu dan mengecam sebarang bentuk keganasan tidak kira sama ada melibatkan penyokongnya mahupun pihak lain.

“Penggunaan kekerasan sama ada di dalam mahu pun luar stadium telah membayangi pertembungan sengit di atas padang dan tidak seharusnya mendapat tempat di dalam dunia sukan.

“Ingatan kami juga tertumpu kepada ahli keluarga City Boys yang menjadi saksi terhadap kejadian yang memilukan ini dan terkesan akibatnya. Kepada mana-mana penyokong yang dicederakan kami seikhlas hati menghulurkan bantuan untuk anda,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah KL City, pihaknya bersedia sepenuhnya bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan mereka terhadap insiden tersebut ekoran laporan polis yang dibuat oleh salah seorang penyokong yang menjadi mangsa keadaan.

Pihaknya menggesa mana-mana saksi dengan bukti kejadian ini agar menghubungi kami supaya keadilan dapat diperoleh untuk mangsa.

“Di Kuala Lumpur City FC, kami mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap sebarang penggunaan kekerasan dalam kawal selia penonton.

“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk berkongsi pengalaman dalam hal kawalan keselamatan di stadium serta pengurusan penonton,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com