GOMBAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau telah mengemukakan usul kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung politik fitnah dan menunggang agama yang dilakukan oleh sesetengah pihak.
Ujarnya, usul itu dikemukakan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Kita lepaskan, tunggu 12 Ogos selepas itu, apa pun keputusan saya dah bincang dengan Zahid, Fadillah, saya dah kemukakan (usul) kepada Sultan Selangor, kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya kata, ini bukan soal politik saya tak peduli dia sokong siapa, tapi dia tunggang agama, permainkan hukum Allah, menghukum fitnah orang, dan fitnah besar, nak kafirkan orang tak sokong dia masuk neraka.
“Saya nak bagitahu malam ini, after this, this Prime Minister if u support will not tolerate this nonsense,” katanya.
Tambah Anwar, Malaysia perlu menjadi negara yang selamat serta menghormati semua lapisan kaum dan agama.
“Saya bagitahu dulu dan tegaskan sekarang, negara ini mesti selamat, negara ini mesti menyantuni semua rakyat. Ya, Islam agama Persekutuan, kita tingkatkan fahaman Islam.
“Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Kita jamin hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kita lindungi Institusi Raja tetapi dengar sini baik-baik jangan hina anak-anak Malaysia dari mana-mana kaum,” tegas Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Grand Finale Kita Selangor di Keramat pada Khamis.
Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.