Thursday, 9, May, 2024
Utama Politik Anwar harap Hadi faham perlembagaan

Anwar harap Hadi faham perlembagaan

oleh admin

TANAH MERAH – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memahami Perlembagaan susulan dakwaan pentadbiran Putrajaya berubah jika pembangkang menawan enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, kedudukan Kerajaan Persekutuan ditentukan ahli Parlimen dan dua pertiga daripada mereka ketika ini menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Saya tanya Hadi, kamu faham ke Perlembagaan Malaysia? Yang menentukan kedudukan Putrajaya adalah ahli Parlimen, malah parti Sabah dan Sarawak juga menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tidak salah PAS mahu meroyan. Biarkan dia meroyan, namun saya nak tanya kamu nak memerintah buat apa? Masalah air di Kelantan pun tidak selesai, sedangkan saya yang baru beberapa bulan sudah meluluskan dengan segera RM500 juta untuk masalah air di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI di Tanah Merah di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa akan berlaku perubahan dalam Kerajaan Pusat sekiranya PN memenangi semua enam negeri pada PRN kelak.

Media sebelum ini melaporkan, parti Sabah dan Sarawak yang bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini memberi sokongan penuh terhadap pimpinan Anwar untuk kekal mentadbir negara selepas PRN.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com