Friday, 22, November, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Notis kehadiran suspek palsu

Notis kehadiran suspek palsu

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah mengesan satu surat iaitu “Notis Kehadiran Suspek” melalui aplikasi Whatsapp.  

Ketua JSJK IPK Kedah, Superitendan Elias Omar berkata, kandungan notis tersebut menyatakan satu individu iaitu suspek telah terlibat dalam penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram. 

Kandungan notis juga menyatakan, sekiranya suspek tidak beri kerjasama dengan pihak polis IPK Kedah dalam masa dua jam, pihak polis akan  mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek serta-merta dan akan membekukan semua akaun bank suspek dalam tempoh 2 tahun 6 bulan serta reman selama 45 hari. 

“JSJK mengesahkan notis tersebut adalah palsu dan sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan notis palsu berkenaan.  

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dengan pelbagai teknik penipuan samada melalui panggilan telefon, aplikasi whatsapp, emel dan sebagainya. Surat yang tidak menunjukkan ciri-ciri professional merupakan salah satu contoh teknik scam terbaharu yang ada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, polis menasihatkan jangan sesekali percaya sepenuhnya sebarang panggilan yang diterima mengaku dari mana-mana Jabatan Kerajaan atau institusi kewangan.

Sebaliknya orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi sendiri ke Jabatan berkenaan untuk pengesahan. 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com