Thursday, 21, November, 2024
Utama Sukan FAM, MFL & PSM bincang kalendar penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil

FAM, MFL & PSM bincang kalendar penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah bermesyuarat dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi tadi bagi menyusun jadual penggunaan stadium berkenaan pada baki tahun 2023 ini dan juga di sepanjang tahun 2024.

FAM diwakili oleh presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama-sama timbalan presiden, Dato’ S. Sivasundaram; naib presiden, Mohd Firdaus Mohamed dan exco, ACP (B) Md Dali Wahid selaku pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa pertandingan; setiausaha agung, Datuk Noor Azman Hj Rahman serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dan penolongnya, Pau Marti Vicente.

MFL pula diwakili presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan dan ketua pegawai eksekutif, Datuk Stuart Ramalingam.

Sementara PSM diwakili oleh pengerusinya, Dato’ Hans Isaac serta ketua pegawai eksekutif, Mohd Faidz Sanusi dan ahli lembaga pengarah, Zahir Kelvin Ong Abdullah.

Perbincangan lebih menjurus kepada persediaan pihak PSM menjelang pertandingan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional dari 13 hingga 17 Oktober 2023 serta perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023.

Selain itu, bagi saingan liga domestik, Final Piala Malaysia 2023 dijadual berlangsung di Stadium Nasional pada 9 Disember 2023.

Datuk Haji Hamidin berpuas hati dengan persiapan venue oleh pihak PSM, termasuk berkaitan dengan tempat duduk penonton serta padang dan berharap agar perlawanan-perlawanan tersebut dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.

Pada kesempatan sama juga, FAM, MFL dan PSM turut berbincang mengenai kalendar bola sepak tempatan dan antarabangsa bagi tahun 2024 yang mana Stadium Nasional akan turut digunakan pada baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di tempat sendiri pada Mac dan Jun 2024, selain aksi final-final pertandingan anjuran MFL pada musim depan. – MFL

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com