CHANGLUN – Unit Ronda Bermotosikal (URB) polis akan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan penempatan yang terjejas dengan banjir selepas penghuninya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), akibat banjir di daerah Kubang Pasu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, rondaan tersebut akan memasuki kampung bagi mencegah agar tidak berlaku kes pecah rumah dan kecurian harta benda.
“Daripada segi keselamatan, saya memberi jaminan supaya di daerah Kubang Pasu ini kita ada pasukan yang akan membuat rondaan di kawasan-kawasan terkesan.
“Polis akan membuat rondaan di sana supaya kita dapat mencegah kejadian-kejadian dan kita pun minta keadaan itu tidak berlaku dalam keadaan orang yang kena musibah ini ada pula pihak yang ambil kesempatan itu kalau dapat dekat sana saya akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Menurut Fisol, penduduk dinasihatkan supaya tidak bimbang mengenai keselamatan rumah mereka.
“Penduduk diminta supaya membawa dokumen penting, barangan kemas dan wang, semasa berpindah ke PPS dan penduduk yang berada di kawasan rendah dan di tepi sungai diminta supaya bersedia untuk berpindah jika dapati air sungai melimpah ke kawasan penempatan mereka,” ujar beliau.