Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri MADA aktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda sebagai persediaan hadapi La Nina

MADA aktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda sebagai persediaan hadapi La Nina

oleh admin

ALOR SETAR, 2 Okt – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengaktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda sebagai usaha untuk menghadapi fenomena La Nina yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata pihaknya akan menguruskan lebihan air akibat turunan hujan demi menjaga kepentingan awam serta penanaman padi di kawasan itu mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

“Ramalan menunjukkan Perlis dan Kedah akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 200 hingga 300 milimeter (mm) di Perlis dan 290 hingga 440mm di Kedah pada bulan September 2022 hingga Februari 2023.

“Kawasan Muda berkemungkinan menerima turunan hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah yang menyebabkan penambahan takungan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di kawasan sawah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata MADA telah bersedia memastikan kesempurnaan fungsi infrastruktur pengairan dan saliran serta memastikan alat kelengkapan dan aset-aset seperti bot, pam serta peralatan dan jentera yang lain berada dalam keadaan baik.

“MADA sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa bersiap siaga sekiranya berlaku banjir sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).

“Operasi saliran air banjir adalah melalui infrastruktur utama yang melibatkan Sistem Arau, Sistem Lanabulu, Sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar,” katanya.

Beliau berkata dengan segala perancangan dan persediaan itu, diharapkan kerosakan kepada harta awam dan padi dapat diminimumkan dan kesulitan kepada peladang dapat dikurangkan.

“Sehingga hari ini, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA dalam keadaan mencukupi iaitu Empangan Pedu berada pada
kadar 859,625 juta meter padu (98.27%), Empangan Muda pada kadar 123,950 juta meter
padu (99.16%) dan Empangan Ahning pada kadar 186,979 juta meter padu (83.85%).

“Peladang di kawasan MADA diminta untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan dan kita sentiasa bersedia membantu bagi menjayakan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com