Kepala Batas: Syarikat berkaitan kerajaan yang menjaga pegangan Bumiputera diminta tidak mengambil jalan mudah dengan menjual aset bagi menyelamatkan kepentingan mereka sehingga berganjak dari matlamat asal.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mendapati setiap kali berdepan kerugian, pengurusan syarikat membuat keputusan melepaskan aset sebagai jalan singkat.
Katanya, perkara itu berlaku memandangkan urus tadbir dan tatakelola yang lemah sekali gus menyebabkan keputusan kurang bijak diambil.
“Bila pengurusan lemah, kerugian bertambah dan cara mudah yang diambil adalah jual aset. Ini disebabkan pengurusan dan tatakelola yang lemah.
“Amalan seperti ini perlu diubah dan harus diingatkan (mana-mana syarikat yang menjaga kepentingan Bumiputera) pertamanya pengurusan perlu cekap dan kedua walau apa sekalipun berlaku tidak boleh mudah lepaskan pegangan dan kepentingan asal semata-mata nak kawal kepentingan syarikat.
“Jika ini tidak boleh buat, sampai bila kerajaan perlu bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines Bertam, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, setiap pengurusan syarikat perlu mempunyai anjakan dan dipertanggungjawabkan akan tugas asas mereka supaya kelemahan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Kalau kita tidak beralih sampai bila, berpuluh tahun balik ke pangkal tubuh syarikat salah urus tadbir rugi, kerajaan terpaksa bantu, ada desakan baru bantu lagi kemudian tubuh lagi syarikat baru dan selepas itu kita ikut jalur sama yang tiada penghujung,” katanya.
Tegasnya, kerajaan menitikberatkan soal pengurusan kerana ia adalah tanggungjawab untuk memastikan tidak ada masyarakat dan kaum terpinggir.
“Awal tahun 70-an yang mana kelompok Melayu Bumiputera tidak dapat mengejar kepesatan ekonomi kian rancak maka ditubuhkan syarikat bumiputera seperti PNB dan syarikat lain.
“PNB dapat bertahan, berkembang kerana pengurusan yang cekap dan integriti pengurusan.
Ini patut menjadi penekanan kita dalam Kerajaan Perpaduan sekarang kerana berapa banyak sekalipun curahan dana dan peluang diberikan, andaikata pengurusan itu tidak cekap dan kita sia-siakan amanah itu sampai bila pun akan berlaku seperti pengalaman lalu,” katanya.