ALOR SETAR – Sebanyak 507 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah terhadap penunggang motosikal warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 sepanjang September lalu.
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri ini selama sebulan.
Menurutnya, mereka turut menyita 700 motosikal dengan separuh daripadanya iaitu 72 peratus ditunggang oleh warga asing.
“Pemandu warga asing ini sebanyak 700 yang di sita tu ada 72.43 persen ataupun bersamaan dengan 507 buah motosikal seterusnya warga negara adalah 27.57 ataupun 193 orang warga negara itu usia dia remaja 15 ke 40 tahun,” katanya pada sidang media di Depoh Sita JPJ Kedah di Jalan Suka Menanti Alor Setar, hari ini.
Ujarnya, secara keseluruhannya, sebanyak 47,106 motosikal diperiksa dengan 3,549 daripadanya dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman.
Menurut Aman Shah, antara kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu sah, tiada perlindungan insurans serta lesen kenderaan motor tamat tempoh.
“Sebanyak 3,352 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu sah manakala 2,080 lagi kerana tiada perlindungan insurans.
“Selain itu, 2,113 saman dikeluarkan kerana lesen kenderaan motor tamat dan 2,981 saman pula dikeluarkan kerana lain-lain kesalahan teknikal termasuk ubah suai kenderaan yang tidak dibenarkan,” katanya lagi.