Monday, 25, November, 2024
Utama Politik Tunjuk bukti Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut sokong Kerajaan Perpaduan – PM

Tunjuk bukti Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut sokong Kerajaan Perpaduan – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengemukakan bukti mendakwa kononnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Malah Anwar turut mengesahkan belum bertemu dengan Iskandar Dzulkarnain.

“Kalau dia ada bukti dia kena bawa kes, tapi apa lagi dia nak kata. Saya tahu saya belum jumpa dia (Iskandar Dzulkarnain). Saya belum ada contact (hubungi) dan saya tak hantar wakil dan tak tahu siapa yang ugut.

“Kalau ada bukti, keluarkan jangan pakai bebal saja. Kalau ada (bukti), ini satu tuduhan serius dan dia (Hamzah) patut bawa laporan dan biar ada siasatan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Symposium – The Path Towards Greater Prosperity For Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas sokongan dibuat Iskandar Dzulkarnain terhadap Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata, beliau berterima kasih atas sokongan yang diberikan itu.

“Saya ucap terima kasih kerana memberi sokongan dan soal dia (Iskandar Dzulkarnain) nak kekal dengan Perikatan Nasional (PN) itu keputusan dia.

“Tapi saya lihat umpamanya, apa yang cuba kita (kerajaan) lakukan dengan dasar ekonomi dan kebajikan rakyat, sepatutnya dia beri satu hubungan yang baik,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Beliau mendakwa, pada 1 Oktober lalu, wakil rakyat itu dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.

Iskandar Dzulkarnain dalam kenyataan sebelum ini menyatakan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri dan keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan keperluan mendesak menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com