Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Pengecualian visa, aspek keselamatan negara tidak diabaikan

Pengecualian visa, aspek keselamatan negara tidak diabaikan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa aspek keselamatan negara tidak akan diabaikan susulan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata agensi keselamatan telah diminta untuk memperkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan pengecualian visa tidak menjejaskan keselamatan negara.

“Ada Ahli Yang Berhormat yang mungkin gusar kerana isu keselamatan dibangkitkan, maka agensi keselamatan telah diminta perkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan ini tidak menjejaskan keselamatan negara,” kata beliau ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini Anwar berkata kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan.

Beliau berkata ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com