ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 606 panggilan berkaitan kebakaran terbuka di seluruh negeri Kedah setakat 14 Februari dan sentiasa bersiap-sedia sepanjang masa.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, JBPM Kedah menjangkakan kes kebakaran lalang, belukar dan kebun akan terus meningkat berikutan keadaan cuaca panas terik yang berlaku awal tahun ini.
Menurutnya, 20 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan fenomena El Nino yang melanda negara ini menyebabkan daun dan rumput menjadi kering.
“Setakat ini empat daerah di negeri ini yang dikenal pasti sebagai hot spot kerap berlaku kebakaran terbuka adalah di Kota Setar yang tertinggi dan menerima panggilan kebakaran paling banyak iaitu 183 panggilan, diikuti Kuala Muda (169), Kubang Pasu (90) dan Langkawi (85).
“ Panggilan kebakaran terbuka ini menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun lalu sebanyak 1,087 kes sepanjang tahun 2023 manakala tahun sebelumnya 689 kes,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 30 pegawai dan 60 penerima Sijil Kecemerlangan kepada pegawai JBPM Kedah dan enam pengamal media termasuk Sinar Harian.
Awang Hidzel berkata lagi, pembuangan puntung rokok yang masih bernyala di tepi lebuh raya dan jalan utama boleh mengakibatkan kebakaran besar yang berpunca akibat rumput kering.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JBPM Kedah turut melakukan penyelenggaraan pili Bomba agar berada dalam keadaan bagi menghadapi situasi kecemasan terutama ketika cuaca panas ketika ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan pili Bomba di negeri ini adalah sebanyak 26,578 buah iaitu 22,491 buah pili bomba awam yang berwarna merah manakala 4,087 buah adalah milik swasta yang berada di kilang-kilang.
“Kita dapati ada yang sudah rosak dan ianya berpunca akibat perbuatan vandalisme individu tidak bertanggungjawab yang merosakkannya sama ada secara sengaja atau tidak,” ujar beliau lagi.