Saturday, 27, April, 2024
Utama Nasional Zakat institusi penting usaha banteras kemiskinan

Zakat institusi penting usaha banteras kemiskinan

oleh Ammar Haziq

GEORGETOWN: Institusi zakat mesti memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah asas berkaitan kemiskinan tegar di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, zakat tidak seharusnya dilihat sebagai institusi biasa atau bagi menjana pendapatan negara sahaja, sebaliknya ia adalah institusi penting yang dikaitkan dengan usaha membanteras kemiskinan.

“Sebab itu kalau tanya saya dalam bicara soal zakat di negeri-negeri, walaupun ia bidang kuasa negeri, saya tidak boleh menerima kenyataan negeri yang boleh mengumpul dana zakat yang besar, tetapi masih ada kelompok miskin tegar.

“.. saya hendak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya semasa berucap pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Anwar berkata pengurusan zakat tidak boleh diambil mudah, sebaliknya memerlukan tatakelola yang baik untuk menyelesaikan masalah kemiskinan khususnya melibatkan umat Islam.

Beliau berkata setiap kutipan atas nama zakat mesti dibelanjakan secara bertanggungjawab dengan keutamaan adalah untuk menyelesaikan kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata setakat ini usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor sudah mencapai status 100 peratus.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com