Tuesday, 14, May, 2024
Utama Negeri Sultan Kedah perkenan anugerahkan pingat perkhidmatan setia kepada 410 staf UUM

Sultan Kedah perkenan anugerahkan pingat perkhidmatan setia kepada 410 staf UUM

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) perkenan menganugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia kepada 410 kakitangan yang berkhidmat lebih 25 tahun di universiti ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan dalam majlis menghadap Tuanku Canselor di Istana Anak Bukit turut menyembah maklum cadangan untuk majlis berkenaan di Dewan Sri Angsana EDC UUM, pada April 2024.

Penganugerahan pingat tersebut bagi menghargai jasa dan sumbangan staf berkenaan kepada universiti sempena sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-40 Tahun.

Tuanku Canselor turut dimohon memasyurkan penamaan Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin dan penamaan Kelab Golf Sultan Sallehuddin (KGSS) UUM dengan menandatangani plak besar di tempat dan tarikh sama.

Seterusnya, Dr. Mohd Foad menyembah maklum aktiviti universiti sempena Hari Pengasasan UUM dan Tahun Melawat UUM 2024.

Sebanyak 40 program berimpak telah disusun dengan 30 program peringkat kebangsaan manakala 10 lagi peringkat antarabangsa, dengan sasaran 500,000 pengunjung melawat UUM sepanjang tahun 2024.

Selain itu, Tuanku Canselor turut disembah maklum berkenaan tarikh Majlis Konvokesyen ke-37 UUM.

Turut serta dalam majlis menghadap ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang turut menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com