ALOR SETAR – Musim panas dan kering yang melanda di Kedah tidak memberi kesan terhadap tanaman padi terutamanya di Kawasan Muda malah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sekiranya keadaan El-Nino ini berlarutan.
Prestasi kemajuan tanaman padi Musim 2/2023 sehingga hari ini telah mencatatkan aktiviti tanam
mencapai 99.3% melibatkan kawasan seluas 100,011 hektar, manakala peringkat berbunga
sebanyak 80.3% dengan keluasan 80,831 hektar, masak sebanyak 38.0% dengan keluasan 38,282
hektar dan sebanyak 12.1% seluas 12,208 hektar padi telah dituai di Kawasan Muda.
Menurut MADA, Jumlah takungan ketiga-tiga empangan adalah berada pada paras selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan keperluan sumber air pengairan untuk aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 di Kawasan Muda dimana kapasiti takungan Empangan Pedu adalah sebanyak 627,500
ekar kaki bersamaan 71.71%, Empangan Muda sebanyak 91,000 ekar kaki bersamaan 72.80% dan
Empangan Ahning sebanyak 209,524 ekar kaki bersamaan 93.96%. Jumlah takungan ketiga-tiga
empangan adalah sebanyak 928,024 ekar kaki bersamaan 75.88%.
“Berdasarkan laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia
mendapati Fenomena El-Nino atau cuaca kering yang sedang berlaku diramal berlarutan sehingga
Jun 2024.
“Jumlah turunan hujan di Kawasan Muda merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 12mm
berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 47mm. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak
akan menjejaskan aktiviti tanaman padi Musim 2/2023 yang dijangka selesai pada penghujung
Mac 2024,” katanya.
MADA berkata lagi, bagi menghadapi musim cuaca kering, pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan Tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan serta menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti Musim 2/2023 selesai sepenuhnya.
“Para peladang dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi
memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran,” ujarnya.