Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Cuaca panas beri kesan kepada penoreh getah

Cuaca panas beri kesan kepada penoreh getah

oleh Ammar Haziq

SIK:Cuaca panas akibat fenomena El Nino turut memberi kesan kepada penoreh di negeri ini apabila susu getah semakin berkurangan sejak minggu lalu.

Ia turut menyebabkan susu getah lambat beku sekali gus menyebabkan pendapatan penoreh semakin berkurangan.

Penoreh, Abdul Latif Ahmad, 61, berkata dia terpaksa menunggu selama seminggu untuk menjual getah berbanding hanya tiga atau empat hari sebelum ini berikutan susu getah lambat membeku.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sumber pendapatannya terjejas kira-kira 50 peratus.

“Setiap tahun begini lah keadaan yang kami perlu lalui, apabila musim hujan pun kami tak boleh menoreh, sekarang musim panas pula.

“Namun jika musim panas ini berpanjangan kemungkinan susu getah semakin berkurangan apa tah lagi pokok yang saya toreh sekarang sudah tua, susu tak akan sama dengan pokok baru,” katanya yang tinggal di Kampung Charuk Puyuh di sini.

Seorang lagi penoreh, Mohd Zahir Md Aris, 44, berkata ada penoreh yang memilih untuk menoreh getah pada waktu malam kerana cuaca yang lebih sejuk berbanding selepas waktu subuh seperti kebiasaan.

Katanya, malah penoreh berhampiran rumahnya pula menoreh lebih awal iaitu pada jam 5 pagi dan pulang pada waktu subuh.

“Sekarang ini daun getah banyak luruh, jadi jam 9 pagi cuaca sudah panas, jika kebun getah berdekatan tepi jalan atau rumah orang, mereka akan pilih menoreh pada awal pagi atau malam.

“Cuma susu getah tetap lambat beku kerana susu bercampur dengan air dari batang pokok getah, selalunya apabila pokok getah mengeluarkan pucuk dan bunga, ketika itu lagi susu berkurangan,” katanya yang tinggal di Kampung Charuk Tok Pong.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata dia terpaksa membuat kerja lain bagi menampung perbelanjaan anak-anaknya yang masih belajar.

“Sekarang ini menoreh tidak lagi boleh menjadi pendapatan utama kami, saya dan isteri buat pelbagai kerja untuk besarkan anak, hasil menoreh cuma RM200 ke RM300 sebulan, tambah sekarang musim panas, lagi lah pendapatan berkurangan.

“Dengan harga getah yang tidak stabil dan kos sara hidup yang semakin tinggi, kami terpaksa berjimat cermat dan mendahului barang yang perlu saja,” katanya yang turut mencari hasil hutan bagi menampung pendapatan.

Terdahulu, media melaporkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, fenomena itu bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com