Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Mohd Azizuddin dilantik TNC akademik dan antarabangsa UUM

Mohd Azizuddin dilantik TNC akademik dan antarabangsa UUM

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, 48, telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Utara Malaysia (UUM) berkuatkuasa pada 26 Februari 2024 sehingga 25 Februari 2026.

Beliau yang merupakan pakar dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa itu memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Keele University, United Kingdom pada 2007.

Selain itu, beliau juga pemegang ijazah Sarjana Sastera (2000) dalam bidang Sains Politik dan Sarjana Muda Sastera (1999) dalam bidang Sains Politik dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Prof. Dr. Mohd Azizuddin mendapat gelaran Profesor ketika di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), UUM pada 2016.

Di UUM, beliau pernah dilantik menjadi Dekan di Pusat Pengajian Antarabangsa dan Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC).

Di peringkat antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Azizuddin turut menjadi Felo Pelawat di Yusof Ishak-Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS), Singapura dan menjadi Profesor Pelawat di National Institute of Development and Administration (NIDA), Bangkok, Thailand.

Kini, beliau merupakan Presiden/Pengerusi Persatuan Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (AIMS) dan sering menulis suratkhabar sebagai kolumnis untuk Berita Harian dan Sin Chew Jit Poh untuk isu-isu politik dan hubungan antarabangsa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com