YAN – Dua warga emas maut dalam perjalanan untuk belajar agama di sebuah Pusat Pengajian Pondok, di sini selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori mambawa muatan ikan di Jalan Sungai Limau Dalam, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa maut dikenal pasti Zabidah Bakar, 75, dan rakannya Naemah Mohamad, 70.
Menurutnya, dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka menaiki kereta jenis Produa Myvi yang dipandu Naemah manakala Zabidah duduk di tempat duduk hadapan.
Menurutnya, seorang lagi rakan mereka, Faridah Awang Dahman, 66, berada di bahagian penumpang di bahagian belakang.
“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki ketiga-tiga warga emas itu bergerak dari arah Sungai Limau Yan dalam perjalanan ke arah Kuala Kedah manakala lori membawa muatan ikan datang dari arah Kuala Kedah.
“Tiba-tiba kereta yang dipandu Naemah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan kerana jarak terlalu dekat, pemandu lori hanya sempat mengelak sedikit ke kiri namun bertembung berhadapan,” katanya.
Jelas Shahnaz, Naemah tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di tempat kejadian manakala Zabidah disahkan meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari pada Jumaa ketika sedang dirawat di Hospital Yan.
Manakala keadaan Faridah tidak stabil dan dirawat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Yan.
Sementara pemandu lori berusia 25 tahun mengalami patah kaki manakala kelindan berusia 22 tahun hanya cedera ringan masih menerima rawatan di hospital sama.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.