Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Bumbung rumah diterbangkan ribut, nenek cemas selamatkan cucu tiga tahun

Bumbung rumah diterbangkan ribut, nenek cemas selamatkan cucu tiga tahun

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Seorang nenek berdepan detik cemas menyelamatkan cucu berusia tiga tahun apabila terpaksa berlari keluar dari rumah selepas rumahnya dibadai ribut di Kampung Telok Wang Kechil dalam mukim Sungai Pasir, di sini petang Ahad.

Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu Hasma Dan, 65, baru selesai memandikan cucunya, Muhammad Naiz Husair Muhammad Ashraf Naim dan secara tiba-tiba hujan lebat berserta angin kencang menerbangkan bumbung rumahnya.

Menceritakan detik cemas ketika kejadian Hasmah berkata, sebelum ribut melanda, awan bertukar gelap disertai dengan angin kencang dan sekelip mata mengangkat bumbung rumah.

“Ketika kejadian saya tak sempat berfikir hanya dukung cucu sambil menjerit meminta ahli keluarga lain supaya keluar dari rumah.

“Namun saya bersyukur kerana seluruh ahli keluarga kami selamat dalam kejadian ribut yang kali pertama melanda kampung ini dalam tempoh 60 tahun.

“Malam ini kami menumpang berteduh dan tidur di rumah saudara di kampung ini dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi

“Ribut kemudian disusuli dengan hujan lebat menyebabkan barangan peralatan rumah dan barang elektrik mengalami kerosakan,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lapan buah rumah di lima kampung di daerah Kuala Muda rosak dalam kejadian ribut.

Kejadian melibatkan masing-masing sebuah rumah di Kampung Berapit, Kampung Telok Wang Besar, Kampung Telok Wang Kechil dan Kampung Kuala Dahanan manakala di Kampung Seri Gading, Jeniang dekat sini melibatkan empat rumah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan apabila bumbung rumah diterbangkan angin.

“Pemeriksaan pihak kita selepas kejadian mendapati kesemua penghuni di lapan rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kita sentiasa bersiap siaga dan sedang mengemas kini pusat pemindahan sementara (PPS) di semua kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian sama sebanyak enam gerai menjual jagung yang terletak di kaki Gunung Jerai, dekat sini rosak dibadai ribut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 petang tadi.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kesemua gerai yang terletak di tepi jalan persekutuan itu rosak teruk termasuk ada bumbungnya diterbangkan angin. Tiada laporan kecederaan diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com