KUALA TERENGGANU – Polis kini sedang memburu dua suspek yang menyerang pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, 25 yang dipercayai menyamun mangsa pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa diserang berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu dalam kejadian 8.30 malam.
Menurutnya, Akhyar mengalami kecederaan di kepala, kaki kiri dan lengan kiri.
“Mangsa tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.
“Suspek yang memakai ‘mask’ dan menutup kepala dengan baju hoodie itu dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.
“Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan,” katanya pada Jumaat.
Tambahnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.
Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa kehilangan beg tangan berharga kira-kira RM4,000, dompet bernilai RM800, kad pengenalan dan lesen memandu dengan jumlah kerugian lebih RM4,800.
“Usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini giat dijalankan” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.