Saturday, 18, May, 2024
Utama Negeri UUM meterai MoU dengan Kementerian  Agama Republik Indonesia, perkukuh pendidikan 

UUM meterai MoU dengan Kementerian  Agama Republik Indonesia, perkukuh pendidikan 

oleh Ammar Haziq


SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag) sekali gus mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan. 


Majlis itu akan dihadiri oleh Sekretaris Jenderal Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag), Profesor Dr. Muhammad Ali Ramdhani dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
 
MoU yang ditandatangani melibatkan program kerjasama akademik antara UUM dan lima Universitas Islam Negeri (UIN) di bawah naungan Kemenag iaitu Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry Banda Aceh, UIN Raden Fatah Palembang, UIN Sunan Ampel Surabaya, UIN Sunan Gunung Djati Bandung, UIN Mataram.
 
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar warganegara Indonesia yang terpilih akan ditaja sepenuhnya oleh Kemenag melalui Beasiswa Indonesia Bangkit (BIB) untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di UUM dan UIN.
 
“Setiap pelajar tajaan Kemenag akan terlebih dahulu mengikuti satu tahun tempoh pengajian sarjana di UUM  seterusnya akan menyambung satu tahun lagi pengajian sarjana di UIN terlibat.
 
“Sekiranya setiap pelajar berjaya melengkapkan pengajian sarjana mereka dalam tempoh dua tahun, mereka akan dianugerahkan dua sijil sarjana dari dua universiti sekali gus,” ujarnya.
 
Inisiatif ini merupakan program kerjasama akademik sulung seumpamanya yang diperkenalkan oleh Kemenag dengan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia.
 
UUM turut menerima kedatangan 43 pelajar di bawah penajaan penuh Kemenag yang akan mula mendaftar pada 8 Mei ini dengan mengikuti program Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan), Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam), Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan), Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia dan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam.
 
Pusat pengajian dari UUM yang terlibat dalam kerjasama akademik ini adalah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).
 
Program kerjasama akademik antara UUM dan lima UIN merupakan pilot project buat Kemenag. Sekiranya program ini mencapai objektifnya, Kemenag bersedia untuk membuka lebih banyak peluang buat warganegara “Garuda” itu untuk mengikuti program kerjasama akademik ini pada masa akan datang. Untuk rekod, Kemenag mengawal selia 29 UIN di bawahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com