Friday, 17, May, 2024
Utama Negeri Bina LRT di Langkawi : UMNO Kedah sifatkan sebagai angan-angan mat jenin

Bina LRT di Langkawi : UMNO Kedah sifatkan sebagai angan-angan mat jenin

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menyelesaikan masalah asas di Langkawi berbanding angan-angannya membangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju maglev di pulau pelancongan tersebut.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pemimpin itu jika serius hendak tangani isu pelancong di Langkawi, beliau perlu merawat punca dan masalah sebenar.

Menurutnya, sejak bila pelancong menurun sebab tiada kereta api laju dan pelancong kurang sebab kos pelancongan di sana mahal, jadual feri makin berkurang dan tambang makin naik serta perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Setidaknya-tidaknya, selesai isu air dahulu di Langkawi. Ini lah masalah apabila dapat MB yang jenis populis, sibuk umum projek sebab hendak nampak bagus, tapi keperluan rakyat tidak terjaga. Air itu keperluan asas, takkan perkara itu pun kita hendak ajar,” katanya dalam satu kenyataan 

Shaiful Hazizy berkata lagi, beliau yakin projek ini akan sama sahaja dengan projek projek mega lain seperti Widad Langkasuka bermula RM40 billion, pelaburan RM2.5 billion KXP, litar lumba Sungai Petani yang masih belum dilaksanakan.

Dakwanya, kerajaan Negeri Kedah sedang terancam dibawah Menteri Besar bergandingan dengan Exco bekas ahli akademik angan-angan Mat Jenin. 

“Langkawi itu besar mana? Dari pekan Kuah hingga ke Padang Mat Sirat hanya lah 15.5 kilometer (km) sahaja. Kalau ikut perancangan Sanusi, dari jeti Kuah ke Pantai Chenang, hanya 19 km sahaja. Kalau ini sahaja jaraknya, perlu ke kereta api Maglev ini? Orang tidak betul sahaja cadang perkara seperti ini.

“Itu belum lagi kita hendak ambil kira kapasiti penggunaan, setahun purata pelancong sebanyak 3 juta pelancong, sehari hanya dalam 8000 orang, campur lah dengan 100,000 penduduk, mungkin yang guna kereta api dalam 10,000 ribu. Jika kita campur penduduk dan pelancong, tidak sampai 20,000 sehari, buat apa hendak guna kereta api laju yang kapasiti mencecah ratusan ribu penumpang sehari. 

“Sebab itu lah, kereta api dengan kelajuan mencecah daripada 431 km/h sehingga 603km/h sesuai untuk diguna pada kawasan jarak jauh dengan penduduk yang ramai dan padat. Dan Langkawi bukan lah kawasan yang sesuai,” ujar beliau.

Sebelum ini, satu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Pembangunan Kereta Api Eko Diraja, Republik Korea (RETD Korea) dan Q-Plex yang merupakan rakan kongsi strategik RETD di Malaysia bersama anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dicapai bagi pembinaan projek ‘Light Rapid Transit’ (LRT) di Pulau Langkawi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com