Sunday, 8, September, 2024
Utama Negeri 45 bubu naga bernilai hampir RM6,000 dirampas

45 bubu naga bernilai hampir RM6,000 dirampas

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 45 set bubu naga dalam satu rondaan rutin Op Aman yang telah dijalankan di beberapa lokasi di perairan Sungai Limau, Yan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, rampasan ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan pemantauan rutin yang dilakukan oleh pihak Maritim Malaysia.

Semasa rondaan dilakukan, pihak Maritim Malaysia menemui beberapa pancang yang mencurigakan dipasang di kawasan berkenaan.

Setelah pemeriksaan ke atas kesemua pancang dilakukan, penggunaan pancang digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa memandangkan pancang yang sama digunakan oleh pengusaha pukat hanyut.

Kesemua bubu naga yang dirampas yang dianggarkan bernilai hampir RM6 ribu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com