Friday, 22, November, 2024
Utama Sukan Sultan Selangor murka keputusan MFL terhadap Selangor FC

Sultan Selangor murka keputusan MFL terhadap Selangor FC

oleh Ammar Haziq

Sultan Selangor sifatkan hukuman terhadap Selangor FC tidak masuk akal, berlebihan

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas hukuman terbaharu terhadap Selangor FC kerana tidak hadir Perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

Hukuman denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan

Menurut baginda, Selangor FC telah memohon penangguhan untuk tidak hadir Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei akibat jenayah serangan asid yang mengancam nyawa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Sultan Sharafudin, baginda telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa Persatuaan Bolasepak Selangor (FAS) diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris sehingga baginda bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah saksikan keadaan seperti berlaku sekarang ini. 

Menurut baginda, sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. 

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC,” ujar baginda.

Tambah Sultan Sharafudin, baginda  kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS,  namun jika baginda merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, baginda tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi. 

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini,” titah baginda lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com