Thursday, 19, September, 2024
Utama Politik Isu sijil halal : DAP perlu belajar dari MCA, jaga sensitiviti

Isu sijil halal : DAP perlu belajar dari MCA, jaga sensitiviti

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Naib Presiden DAP, Teresa Kok perlu mencontohi pemimpin MCA dalam menjaga sensitiviti masyarakat majoriti di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, walaupun MCA merupakan satu parti yang dianggotai oleh masyarakat bukan melayu namun parti MCA tidak menjadikan retorik murahan sebagai modal politik untuk mendapatkan “political mileage”. 

Tambahan pula sepanjang menjadi sebahagian daripada kerajaan, MCA lebih mementingkan kepada isu rakyat yang lebih kritikal untuk dibahaskan seperti isu pengangkutan dan logistik, isu kos sara hidup dan isu-isu lain yang lebih penting kepada masyarakat.

“Pada 6 September lalu, Teresa Kok telah mengeluarkan satu kenyataan yang memperlihatkan isu sijil halal dalam kalangan peniaga adalah sesuatu yang membebankan.

“Pemuda UMNO Pokok Sena menyelar kenyataan ini dengan sekeras-kerasnya kerana isu ini merupakan sebahagian daripada perkara yang menyentuh sensitiviti umat islam secara amnya.

“Pensijilan halal bukan sahaja bermakna makanan yang dihasilkan adalah dari bahan yang sesuai di sisi syarak. Namun, ia bersifat toyyiban iaitu menjamin kebersihan penghasilan makanan tersebut dan juga memastikan segala peralatan yang digunakan dalam proses pembuatan makanan adalah dari sumber yang bersih,” katanya.

Tambahnya, pengumuman Teresa yang ingin mengambil tindakan mahkamah terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal merupakan satu tindakan yang kurang bijak. 

Jelasnya, pemimpin itu juga harus sedar bahawa setiap tindakan akan mengundang kepada akibat dan kritikan Akmal merupakan satu tindakan yang wajar di mana beliau menerangkan secara umum tentang kepentingan sijil halal kepada pengguna umat islam.

 “Datuk Dr Akmal juga menerangkan tentang proses untuk mendapatkan sijil halal yang mudah dan tidak membebankan peniaga seperti yang didakwa oleh YB Teresa Kok. 

“Perkara ini juga harus diteliti dengan terperinci kerana kualiti Pensijilan Halal Malaysia bukan sahaja mudah untuk dimohon malah mempunyai kualiti yang terbaik diperingkat antarabangsa dari sudut pematuhan syarak dan memastikan tahap kebersihan yang terjamin,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com