Friday, 3, May, 2024
Utama Politik Anwar yakin mampu tawan 5 negeri

Anwar yakin mampu tawan 5 negeri

oleh admin

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yakin mampu menawan lima negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan juga Negeri Sembilan diyakini mampu dipertahan.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, semua itu boleh menjadi kenyataan sekiranya semua pihak dan jentera memberi tumpuan dan fokus sepanjang kempen PRN berlangsung.

“Saya nak beritahu daripada laporan yang saya dapat setakat ini, tiga negeri kukuh untuk kita pertahankan. Dan bulan lalu saya (kata) satu negeri kita boleh tambah.

“Sekarang dua (lagi) negeri kita boleh tawan dengan syarat (memberi) tumpuan dan perhatian dalam kempen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Pengumuman Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Padang Awam MBSA di sini malam tadi.

Mengenai senarai calon, Anwar berkata beliau ada melakukan ubah suai melibatkan satu atau dua kerusi pada PRN kali ini.

Mengulas mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Anwar memberitahu berlaku pertukaran saat akhir melibatkan kerusi DUN itu dengan Batu Tiga.

“Kadang-kadang keputusan bukan kita setuju semua tetapi keadaan buntu… Kita terpaksa ada sedikit kesediaan untuk tolak ansur jadi sebab itu kita tukar. Kita ambil (DUN) Hulu Kelang dan menyerahkan (kerusi DUN) Batu Tiga.

“Bagimanapun kita ada kebijaksanaan kerana kita meletakkan calon di Hulu Kelang seorang tokoh berani lawan iaitu saudari Juwairiya Zulkifli,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com